Budak-budak jahil zaman sekarang, kamu semua tahu, bila ditegur baik-baik, 'Adik, adik dah lawa. Kalau tutup aurat, lagi lawa. Sungguh,' jawabnya,
'Kubur masing-masing, tu yang paling penting.' Itu kalau kau jumpa yang attitude boleh tahan.
Kalau yang biadab dan jahil pulak jawabnya,
'Alah kau dah sempurna sangat kan? Nak tegur-tegur orang pulak. Kubur masing-masing, OK? Jangan sibuk hal orang lain.'
Kalau yang jahil serta ultimate kurang ajar jawabnya macam ini,
'Kau dah sure sangat masuk syurga ke? Dah clear seksa kubur ke? Kubur kau tu settle dulu, baru cakap pasal kubur orang.'
Sebenarnya kan, this
'kubur masing-masing' bullshit datang dari mana? Siapa makhluk bongkak whatever tak sedar diri nak mampus yang mulakan fahaman bodoh ni? And why, oh why begitu ramai yang boleh pulak terpengaruh lepas itu dengan bangganya menggunakan ayat ini setiap kali orang ajak buat baik? Do they really mean it when they say it?
Topik aurat bukan topik tunggal yang buat benda ni jauh tersebar. Kau ajaklah bangsa jenis ini buat sebarang benda baik yang Allah SWT suka, itulah jawapan yang kau dapat. Most of the times. Kau tengok FB sudah.
* * *
Kubur kita mungkin sorang satu, dik. Rumah kita pun sorang satu. Tapi kubur bukan macam rumah, boleh decide nak buat kat mana, nak plan yang macam mana, nak besar mana, nak siap berapa lama, nak pindah masuk bila dan nak interior design style apa. Kubur ni dik, lepas kita mati nanti, saudara-saudara seagama kita yang tolong gali lepas mereka tolong mandikan kita, kafankan kita, sembahyangkan kita dan usung kita ramai-ramai ke liang lahad kita tu.
Kalau kita boleh mati sendiri, mandi sendiri, kafan sendiri, solat sendiri, gali kubur sendiri, masuk sendiri dan kambus sendiri - kita sombong bongkaklah macam mana pun, memang layak sangat. Ini nyawa pun dah malaikat yang tolong cabut, mandi pun dah saudara-mara tolong uruskan, kafan pun orang lain tolong pakaikan, semuanyalah orang lain buatkan untuk kita, jadi kenapa kita nak berlagak sangat depan Tuhan? Kita nak berlagak apa sebenarnya sedangkan semua yang kita miliki ni Dia yang bagi?
Kalau orang yang tegur kita tu lebih tua, atas dasar hormat pada pengalaman hidup mereka, kita bukalah hati. Kalau tak mampu nak terus ikut pun, tak perlu maki-hamun bukan?
Kalau yang menegur kita tu sebaya, anggaplah dia sayangkan kita sebagai kawan seusia. Bagus kan ada orang pedulikan kita? Daripada kita terus hanyut ke pintu neraka?
Dan kalau kita ditegur oleh teman yang lebih muda, sebelum mengamuk macam makhluk kesian yang tak berakal - ingatkanlah diri kita, teman kita itu dosanya kurang daripada kita. Ucap terima kasih, lepas tu boleh mula berfikir.
Akal Tuhan beri percuma, bila lagi nak guna?
Tidak perlu buat tayangan percuma kebodohan mutlak kita dengan marah-marah pada perkara yang tak perlu dimarahi, caci-maki pada orang-orang yang sudi peduli dan menyombong di depan Allah SWT kononnya kita boleh uruskan hal mati sendiri. Hakikatnya bila kita taksub bongkak dengan diri, kita sebenarnya bertemasya menyambut kebodohan kita menyombong dengan nyawa, harta dan kebebasan yang cuma pinjaman. Tak hinakah kita membangga diri dengan barang pinjam?
Sebaiknya kita selalu mengkritik diri supaya usaha menjadi makhluk kesayangan Allah SWT itu jadi berterusan. Supaya kita selalu berminat dengan syurga dan segala yang Allah SWT suka. Supaya panjang pendek usia kita tak melimpah dengan perkara sia-sia dan berdosa.
Tapi, berapa ramai yang mahu jadi cool kerana dikasehi Tuhan?
Dan berapa ramai pula yang mahu kekal cool di mata manusia dengan melawan Tuhan?